Jumaat, 8 Mei 2009

AKU MAHU MEMBALAS JASA IBU!!!




Ada seorang lelaki yang telah berjaya dalam hidup dan dia mahu membalas budi ibunya. Lelaki ini telah pergi berjumpa ibunya dan memberitahu yang dia ingin membalas segala pengorbanan ibunya selama ini. “Apa sahaja yang ibu hendak, saya akan belikan,” katanya. Si ibu hanya tersenyum dan berkata, “Ibu tidak mahu apa-apa,” Tetapi, si anak tetap bertanya. “Apa sahaja ibu. Katakanlah. Saya akan belikan.”

Tetap juga dijawab tiada apa-apa. Sehari suntuk jugalah si anak memujuk ibunya. Akhirnya si ibu berkata, “Ibu mahu kamu tidur bersama-sama dengan ibu malam ini, boleh?” pelik benar permintaan ibunya itu tetapi kerana telah berjanji , dia bersetuju. Malam itu, tidurlah si anak menemani ibunya di katil.

Sedang nyenyak tidur, si ibu mengambil segelas besar air kosong dan kemudiannya menjirus bahagian peha si anak menyebabkan dia terjaga dari tidur. Tanpa berkata apa-apa si anak beralih tempat, mengesot ke bahagian bawah katil. Selang satu jam kemudian, lagi sekali ibunya mencurahkan segelas besar air ke peha anaknya. Si anak terjaga dan terasa sedikit marah, dia bertanya ibu kenapa si ibu mencurahkan air ke pehanya. “Tiada apa-apa,” jawab si ibu.

Si anak kembali tidur setelah mengubah sekali lagi posisinya. Ketika dia dalam keadaan nyenyak, sekali lagi si ibu mencurah segelas besar air ke bahagian yang sama. Kali ini si anak tersentak dan menjadi marah, “Apa ini ibu? Apa yang ibu cuba buat ini? Saya hendak tidur! Kenapa asyik curahkan air dekat paha?” Sambil tersenyum, si ibu menjawab, “Tadi, kamu kata mahu membalas jasa ibu. Setiap malam semasa kecil, kamu selalu terkencing semasa tidur. Ibu bangun dan tukar lampin kamu. Lepas itu, ibu alih kamu ke tempat yang kering sebab tempat tadi sudah basah terkena air kencing kamu. Bukan sekali tetapi beberapa kali selama bertahun-tahun lamanya. Bagaimana kamu mahu membalas jasa ibu jika satu malam pun kamu sudah tidak dapat bersabar dan bertahan?” Si anak hanya terdiam dan tunduk membisu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan